Kategori

Monday 8 August 2016

ASAM PEDAS IKAN PARI DAUN KESOM

rsz_asam_ikan_pari_daon_kesom

Assalammualaikum, salam Khamis. Asam pedas hari ni, biasalah orang Johor dan asam pedas berpisah tiada katanya. Hari ni jom masak asam pedas ikan pari, campur bendi, tomato dan masukkan daun kesom untuk menambahkan keharuman asam pedas. Kalau ada bunga kantan pun boleh masukkan sekali. ikan anda boleh guna apa jenis ikan sekali pun, kalau dapat ikan segar, in sha Allah asam pedas anda akan lebih enak. Selain bendi, terung, sawi jeruk dan nenas antara yang kerap kali digunakan sebagai bahan campuran dalam asam pedas di Johor. Kalau suka berangin, anda boleh tambah sedikit lada hitam yang ditumbuk halus. Bila memasak asam pedas, keseimbangan rasa amat dititik beratkan, mesti ada rasa pedas sedikit, masam, manis dan bauan, maksudnya aroma dari herba yang kita guna samada daun kesom atau bunga kantan. Sesuai sebagai juada berbuka puasa...


BAHAN-BAHANNYA :-)
600 gram ikan pari (che mat guna ikan pari 'daun')
12 batang bendi muda. jenis kontot
1 biji tomato, belah 6
1 genggam daun kesom
1 kiub ikan bilis (optional)
1 senduk nasi penuh cili kisar
1/2 camca teh pes asam jawa
1/2 camca teh lada hitam biji, tumbuk halus
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN KISAR HALUS :-)
6 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci belacan, dibakar
3 biji cili merah, buang biji

CARA MEMBUATNYA :-)
  1. Ikan pari dipotong ikut suka, cuci dan perap dengan jus limau nipis selama 10 minit, kemudian cuci bersih dan toskan. Bendi dicuci dan kerat sedikit pangkalnya (tak perlu dipotong sebab bendi jenis kontot). Ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam periuk (anggaran 4 camca besar). Tumis bahan2 kisar halus hingga harum, masukkan cili kisar, kacau dan masak hingga cili garing dan naik minyak. Guna api kecil dan kacau selalu.
  3. Masukkan pes asam jawa, kacau rata dan tuang air secukupnya (anggaran 600ml), biar mendidih. Masukkan ikan pari, bendi dan daun kesom, kacau dan masak hingga ikan masak dan bendi lembut. 
  4. Masukkan lada hitam, kiub ikan bilis, tomato, garam secukup rasa dan sedikit gula. Masak sekejap, rasa dan jika ok boleh matikan api. Hidangkan bersama nasi putih, sayur dan telur dadar..

resepi asal dari mat gebu terima kasih kerana berkongi resepi dan selamat mencuba.

No comments:

Post a Comment